Tuesday, December 24, 2013

‘Tetap kena hukum!’

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Lumpur: Tanpa aduan rasmi juga kami boleh ambil tindakan! Itu mesej jelas yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Takiyuddin Hassan kepada bekas pemain kebangsaan Mohd Amirul Hadi Zainal bahawa dia tidak akan terlepas daripada sebarang tindakan jika didapati bersalah melanggar kontrak dengan Pahang apabila membuat pusingan U menyertai Johor Darul Takzim (JDT).

 
Walaupun tarikh tutup pendaftaran pemain Liga M 2014 berakhir 17 Disember lalu namun Amirul menggemparkan penyokong skuad Tok Gajah apabila muncul pada majlis pengenalan skuad JDT di Larkin kelmarin walaupun Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mendakwa pemain berusia 27 tahun itu sudah menandatangani kontrak bersama mereka. 

 Setakat ini tiada kepastian mengenai pasukan yang bakal diwakili Amirul namun Takiyuddin mengesahkan pihaknya menuntut penjelasan daripada kedua-dua pasukan terbabit bagi menyelesaikan kemelut perebutan pemain itu.
“Sehingga ke hari ini (semalam) kami tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada kedua-dua pasukan tapi saya sudah berbincang dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin untuk meminta kedua-dua pasukan memberikan penjelasan. 

“Jawatankuasa Status Pemain mempunyai hak untuk menyiasat perkara ini selepas masalah ini tersebar menerusi laporan akhbar jadi kami mahu memastikan sama ada benar wujud pelanggaran kontrak pemain biarpun tiada pasukan yang tampil membuat aduan.

“Kami akan memanggil mereka untuk memberi penjelasan pada mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain Jumaat ini namun kami juga boleh menerima penjelasan bertulis daripada mereka,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kes pemain membuat pusingan U bukan sesuatu yang baru dalam kancah bola sepak tempatan apabila dua kes membabitkan pemain baru Kelantan Mohd Nazri Ahmad dan Mohd Nor Farhan Muhammad yang menyertai Terengganu pernah disiasat oleh jawatankuasa itu.

Bagaimanapun kes Nazri yang didakwa sudah menandatangani kontrak awal dengan Selangor dan Nor Farhan yang secara tiba-tiba beralih angin meninggalkan JDT berjaya diselesaikan secara persetujuan bersama antara pasukan terbabit walaupun pada mulanya mereka bakal digantung jika didapati bersalah.

Takiyuddin menegaskan, pihaknya mengambil serius kes Amirul ini dan bersedia mengambil tindakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Satu pasukan mendakwa mereka sudah mendaftarkan Amirul bersama pasukan mereka dan satu lagi pasukan memperkenalkan pemain itu bersama pasukannya, perkara seumpama ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Kalau benar ada berlakunya pelanggaran kontrak di situ, tindakan akan diambil,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...