Thursday, December 5, 2013

Troussier pikat FAM

Foto

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cukup berminat untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih Jepun Philippe Troussier apabila dikatakan sudah mengadakan perbincangan dengan pengendali dari Perancis itu di China, Julai lalu.

Menurut sumber, seorang wakil FAM dihantar untuk mengadakan perbincangan dengan Troussier, 58, dan hasil daripada pertemuan itu memberikan petanda positif buat FAM dalam usaha mencari pengganti ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang akan berundur selepas kontraknya berakhir 31 Disember ini.


“Troussier sememangnya calon pilihan FAM ketika ini, mungkin perbincangan mereka kini lebih kepada soal gaji dan kontrak,” kata sumber itu yang kebetulan berada di China ketika perbincangan itu diadakan.


Selepas prestasi hambar dipamerkan Harimau Malaya sepanjang tahun ini termasuk gagal merebut salah satu daripada dua slot automatik daripada Kumpulan D pada kempen kelayakan Piala Asia 2015, FAM membuat keputusan tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang sudah berkhidmat lebih empat tahun.

Tambahan Troussier pula tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas baru saja tamat kontrak dengan kelab China, Shenzhen Ruby.

Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya mengenai perkembangan itu enggan memberi sebarang penjelasan.

“Saya tidak tahu jika ada wakil kami ke China untuk berunding dengan Troussier. Buat masa ini, saya tidak katakan beliau semakin hampir untuk menjadi jurulatih Harimau Malaya. FAM masih lagi dalam proses memilih jurulatih dan sebarang perkembangan akan diumumkan selepas ini,” katanya.

Badan induk bola sepak tanah air itu juga sebelum ini tanpa berselindung sudah menyatakan keinginan untuk mencari jurulatih baru dan mengesahkan menerima lebih 30 permohonan dari dalam dan luar negara.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Troussier akan ditawarkan pendapatan lumayan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) dari FAM jika bersetuju membimbing Harimau Malaya.

Bagaimanapun kerusi panas itu turut dikaitkan dengan bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic, bekas penolong jurulatih kelab Liverpool, Alex Miller dan legenda bola sepak Jerman, Rudi Voller dan jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee.

Buat masa ini, FAM hanya melantik Kim Swee sebagai jurulatih sementara skuad kebangsaan selepas kontrak Rajagobal berakhir dan bakal mengumumkan pengganti dalam masa sekurang-kurangnya dua bulan lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...