Tuesday, December 31, 2013

Zubir tekad bantu Penyu musim depan

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Terengganu: Biarpun masih merasai keperitan akibat gagal mempertahankan ‘ibu segala pingat’ di Sukan SEA Myanmar baru-baru ini, pertahanan kiri Terengganu, Zubir Azmi bertekad melupakan terus kepedihan itu dengan memberi perhatian terhadap kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pertahanan berusia 22 tahun itu berkata, dia kini diberikan cuti rehat dan akan bersama-sama pasukan yang kini berada di Indonesia mengharungi siri perlawanan persahabatan pramusim.


“Saya memang kecewa gagal membantu negara membawa pulang pingat tapi saya harus menerima hakikat kalah dan menang adalah lumrah dalam bola sepak. Sekarang, saya sudah melupakan kekecewaan itu dan berazam memberi tumpuan kepada pasukan Terengganu dalam Liga M.


“Saya sedar saingan Liga M musim depan cukup mencabar, namun percaya dengan barisan pemain yang ada dalam pasukan Terengganu mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan lain,” katanya semalam.

Pemain berasal dari Setiu itu juga menyifatkan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim musim depan adalah yang terbaik untuk meraih piala, lebih-lebih lagi diperkuatkan pemain berkaliber antaranya Norfarhan Mohamad, Zairo Anuar Zailani dan Faiz Subri.

Ditanya persiapan musim depan, Zubir menegaskan dia kini sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk membawa cabaran Terengganu dalam Liga M.
“Saya sekarang sudah bersedia dan bebas daripada sebarang kecederaan. Bagaimanapun, soal bermain dalam kesebelasan utama saya serahkan kepada jurulatih.

“Saya juga tidak mahu terlalu yakin dan mendapat laluan mudah kerana sedar, Nik Zul Aziz Nawawi yang bermain di posisi sama juga menunjukkan permainan terbaik dan saya anggap ia persaingan sihat,” katanya.

Zubir yang dilabel pertahanan kental dan mempunyai gaya permainan ala pertahanan Manchester United, Patrice Evra, mempunyai impian besar musim depan iaitu mahu menjulang satu piala selepas gagal meraih sebarang trofi musim lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...