Monday, February 3, 2014

FAM Lantik Kim Swee Pengendali Sementara Skuad Harimau Malaya

Sumber: Bernama

PETALING JAYA, 3 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari Isnin melantik ketua jurulatih pasukan Harimau Muda A (bawah 23) Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali sementara skuad Harimau Malaya.

Naib Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengumumkan perkara itu berkata Kim Swee ditugaskan untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga perlawanan terakhir kumpulan D di pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal bulan depan.


Katanya, pelantikan pengendali berusia 43 tahun itu dibuat memandangkan faktor kesuntukan masa untuk mencari jurulatih baharu selepas perbincangan untuk mengambil bekas pengendali pasukan kebangsaan Jepun, Philippe Troussier dari Perancis baru-baru ini gagal mencapai kata sepakat.

"Saya berharap pengumuman ini dapat menghentikan pelbagai khabar angin mengenai siapa yang sepatutnya menjadi pengendali skuad bola sepak kebangsaan yang disebarkan sebelum ini.

"Saya selaku pengurus bola sepak kebangsaan turut yakin dengan kredibiliti yang dimiliki Kim Swee untuk membawa pasukan kita ke tahap lebih baik," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini.

Dalam pada itu, Subahan mendedahkan bahawa FAM sedang menilai beberapa calon baharu yang berpotensi sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya walaupun sudah mempunyai senarai pendek 42 calon sebelum ini.

Beliau bagaimanapun berkata FAM tidak menetapkan tempoh masa bagi mencari ketua jurulatih baharu memandangkan skuad kebangsaan hanya berdepan Filipina dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mac sebelum bertolak ke UAE untuk menghadapi Yemen, empat hari kemudian.

"Kalau adapun, mungkin perlawanan persahabatan menentang Singapura pada bulan Ogos nanti. Jadi tahun ini bukanlah tahun paling sibuk untuk pasukan kebangsaan...namun bukanlah bermaksud kita (FAM) ambil sikap lepas tangan dalam soal melantik ketua jurulatih baharu," jelas Subahan.

Sementara itu, Kim Swee berkata beliau tidak bimbang untuk mengendalikan dua pasukan dalam satu-satu masa memandangkan beliau telah berjaya mendapatkan khidmat staf sokongan untuk skuad kebangsaan.

"Saya tidak boleh mendedahkan nama pembantu jurulatih saya untuk membantu dalam dua perlawanan iaitu menentang Filipina dan Yemen nanti. Saya akan mengumumkan perkara berkenaan dalam tempoh terdekat," katanya.

Kim Swee berkata beliau meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pembantu jurulatih skuad Harimau Muda A yang baharu, Rusdi Suparman bagi membimbing skuad muda negara menghadapi Liga Perdana Kebangsaan (NPL), Queensland di Australia bermula awal bulan depan.

Mengenai sasarannya, Kim Swee mahu menaikkan kembali ranking skuad Harimau Malaya yang kini berada pada kedudukan ke-154 dunia selain mencatatkan kemenangan ke atas Yemen bagi menghidupkan kembali peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

"Keutamaan saya ketika ini ialah aksi pusingan kelayakan (Piala Asia 2015) berdepan Yemen nanti, namun bukan bermaksud saya mengabaikan skuad Harimau Muda A.

"Saya turut akan menghantar beberapa staf sokongan untuk melihat perkembangan semasa mereka (Harimau Muda A)," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...