Friday, February 21, 2014

Feyenoord uji anak Malaysia


Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Tanggal 28 Februari ini bakal menjadi detik bersejarah buat anak Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal, yang kini menetap di Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat apabila dia bakal menjalani latihan pemilihan selama sepuluh hari bersama pasukan gergasi Liga Eredivisie Belanda, Feyenoord.

Perkara itu disahkan sendiri oleh ayahnya, Prof. Dr. Wan Kamal Wan Napi, yang berjaya dihubungi melalui Facebook semalam.



Katanya, ini merupakan peluang keemasan buat anaknya yang baru berusia 15 tahun itu mengembangkan karier bola sepak ke bumi Eropah selepas baru sahaja menjalani latihan bersama pasukan Bawah 17 Tahun Amerika Syarikat (AS) di Florida.

Pada waktu ini, katanya, Wan Kuzain sedang bernaung di bawah kelab St. Louis Scott Gallagher (SLSG) di Illinios, menjadi antara pemain utama kelab itu dan aksi cemerlang yang ditampilkan berjaya meletakkan dirinya antara 30 pemain yang disenarai pendek untuk menjalani pemilihan skuad Bawah 17 Tahun AS.

Menurut Wan Kamal, anaknya dianugerahkan bakat semulajadi yang begitu baik terutama skil menggelecek dan mengawal bola yang membuatkan jurulatih SLSG meletakkan Wan Kuzain ber-aksi di posisi tengah serta dianggap sebagai perancang dalam pasu-kan kerana mempunyai visi terhadap pergerakan permainan.

"Selepas Kuzain balik daripada latihan skuad kebangsaan Amerika Bawah 17 di Florida (persediaan Piala Dunia Bawah 17 tahun di Chile, 2015), jurulatih Kuzain percaya pemain ini mempunyai masa depan yang cerah dalam dunia bola sepak.

"SLSG percaya Feyenoord adalah tempat paling sesuai untuk menggilap bakat Kuzain dan sebaik sahaja dia balik dari kem latihan di Florida, jurulatihnya terus menghantar profil peribadinya kepada Feyenoord yang berpengkalan di Rotterdam, Belanda.

"Kira-kira sebulan selepas itu Feyenoord telah mengeluarkan surat jemputan kepada Kuzain untuk menjalani latihan percubaan selama sepuluh hari bersama mereka di Rotterdam," katanya.

Menceritakan masa depan anaknya, Wan Kamal berkata, dia mahu melihat anaknya mengutamakan pelajaran terlebih dahulu dan menyambung pelajaran ke universiti sebelum bergelar pemain bola sepak profesional.

"Tidak mustahil untuk Kuzain menyarung jersi Malaysia pada satu hari nanti kalau mendapat tawaran daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau mana-mana pihak yang mampu berikan tawaran yang baik," katanya.

Berita mengenai pemilihan Wan Kuzain ke Feyenoord, kelab yang melahirkan beberapa pemain ternama Belanda seperti Robin van Persie dan Jonathan de Guzman turut dimuatkan di majalah dalam talian goal.com (versi Belanda) dengan pihak media negara itu melabelkan pemain berusia 15 tahun itu sebagai ‘Messi Amerika Syarikat’ dalam pembikinan.

Wan Kuzain mula aktif bermain bola sepak semasa berumur 4 tahun iaitu secara rekreasi di Carbondale dan pada usianya 11 tahun ditawar bermain dengan SLSG.

Kuzain menerajui SLSG untuk menjadi juara kejohanan bawah 14 tahun lelaki dalam Piala Juara NPL (National Premier League) yang dianjurkan persatuan kelab bola sepak Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...