Saturday, February 8, 2014

‘Kami tak berat sebelah’

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan mereka membuat keputusan berat sebelah apabila menghadiahkan kemenangan 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) ke atas T-Team walaupun kelab dari Terengganu itu mengharapkan aksi pusingan kedua Piala FA pada Sabtu lalu yang tertangguh itu diadakan semula.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Datuk Seri Afandi Hamzah, mereka membuat pertimbangan segala aspek sebelum membuat keputusan termasuk merujuk kepada fakta kes penangguhan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor DT di Stadium Darul Makmur pada 28 Mei tahun lalu.



“Dalam mesyuarat semalam (kelmarin) kami turut merujuk kepada kes antara Pahang dan Johor DT yang dimainkan semula itu, tapi apa yang saya mahu nyatakan di sini kedua-dua kes berkenaan, berbeza. Dalam perlawanan di Kuantan tahun lalu, penonton membanjiri stadium sehingga memasuki kawasan trek dan ketika itu perlawanan masih belum bermula. Walaupun pihak keselamatan cuba menyelesaikan masalah limpahan penyokong itu namun tidak berjaya.

“Berbanding dengan kes di Larkin, perlawanan sudah dimulakan, penonton tidak masuk ke padang dan stadium tidak ada masalah cuma dilaporkan ada berlaku insiden di dalam terowong. Dalam konteks perlawanan, hanya pengadil dan pegawai perlawanan yang boleh membuat keputusan sama ada perlawanan boleh diteruskan atau tidak.

“Walaupun dua, tiga kali pegawai perlawanan meminta T-Team untuk meneruskan perlawanan, mereka tetap enggan, jadi berpandukan kepada peraturan sedia ada, kemenangan harus diberikan kepada Johor DT,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kenyataan Afandi itu menjawab pertikaian disuarakan penolong jurulatih T-Team Azlan Johar yang menganggap keputusan FAM memberikan kemenangan kepada Johor DT sebagai tidak adil dan mendukacitakan selepas mendakwa keselamatan mereka tidak terjamin berikutan insiden pergaduhan di dalam terowong pada rehat babak pertama.

Azlan berkata, mereka mengharapkan perlawanan pusingan kedua Piala FA dengan Johor DT diadakan semula, sama seperti diputuskan FAM tahun lalu dengan perlawanan separuh akhir Piala FA antara Pahang dan Johor DT diadakan semula di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika itu, Johor DT menarik diri selepas bimbang dengan tahap keselamatan apabila penyokong Pahang memasuki trek sebelum perlawanan bermula dan pengadil, komisioner perlawanan dan pihak keselamatan mengumumkan perlawanan tidak dapat diteruskan.

Afandi yang juga Naib Presiden FAM berkata, mereka tidak bertindak kejam apabila hanya memberikan amaran keras kepada T-Team sedangkan kesalahan menarik diri daripada bermain, kesalahan besar.

“Kesalahan menarik diri itu berat dan pasukan itu boleh digantung dan didenda namun dalam kes ini, kami membuat pertimbangan untuk hanya memberikan amaran kepada T-Team. Ini kerana mengambil kira suasana di stadium ketika itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...