Tuesday, February 4, 2014

‘Penaja dalang rasuah sebenar’

Sumber: Harian Metro

Kelana Jaya: Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah yang berlaku apabila pihak penaja dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang sepatutnya menjaga kebajikan pemain rupa-rupanya menjadi dalang memerangkap 17 pemain terbabit dalam rasuah dan mengatur perlawanan Liga Perdana musim lalu.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Taufek Abd Razak (gambar) selepas beliau selesai melakukan siasatan ke atas 17 pemain Kuala Lumpur semalam.



Semua 17 pemain itu didapati bersalah atas dakwaan rasuah dan mengatur perlawanan namun terlepas hukuman berat apabila hanya dikenakan denda RM5,000 selepas jawatankuasa itu mendapati mereka terjebak dalam gejala tidak bermoral itu kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga selepas menerima ancaman bookie.

“Gaji penaja yang bayar, sebelum Liga Perdana bermula penaja sudah mengarahkan pemain supaya mengikut arahan mereka. Jadi pemain tidak memberikan permainan sebenar sehingga mereka melepaskan 60 gol dan kalah 16 daripada 22 perlawanan liga musim lalu.


“Mereka ada membuat aduan kepada KLFA tapi tiada tindakan diambil. Sebahagian besar pemain masih muda dan mereka ada niat untuk membuat laporan polis tapi bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga. Ada pihak penaja yang datang ke rumah pemain (buat ancaman) jika gagal mengikut arahan. Sudah ada pemain dipukul sebelum ini.


“Apa yang berlaku adalah pemain berada di bawah tekanan dan jawatankuasa hanya mengenakan denda RM5,000 kepada 17 pemain dan mereka diberikan amaran keras supaya lebih matang sebagai pemain dan manusia,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas selesai mesyuarat semalam.

Tujuh belas pemain terbabit adalah Hishamuddin Othman, Ahmad Dashila Tajudin, Badrul Hisyam Azmi, Ahmad Jihad Ismail, Mohd Munir Amran, Syafiq Johari, Mohd Ar’ra’uf Roslee , Muhd Rafef Raya, Muhd Hanis Mohtar, Muhd Taufiq Mohd Shukor, Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S Sivaraj dan Mohamad Amirul Asraf Mohd Noor.


Bagaimanapun jawatankuasa itu menjatuhkan hukuman gantung seumur hidup dan denda RM20,000 kepada tiga pegawai Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Stanislav Lieskovsky (jurulatih), Rosli Omar dan Shaari Jani (pegawai) serta lima pemain Jeremy Danker, Khairul Anuar Shafie, Hafizi Roslee, Fadhlullah Yunsifar dan Phoo Kai Lun kerana gagal membuat pembelaan atas tuduhan itu pada 20 November lalu.

Menurut Taufek, enam lagi pegawai pasukan dan KLFA bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib selepas ini manakala mereka akan menyerahkan segala maklumat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengambil tindakan kepada pihak penaja yang namanya enggan didedahkan.


“Pemain menjadi mangsa keadaan apabila mereka terpaksa menandatangani kontrak bersama KLFA pada 11 Disember 2012 iaitu dua hari sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain. Jika mereka tidak menandatangani kontrak itu, mereka tidak sempat untuk menyertai pasukan lain sedangkan KLFA sudah menandatangani kontrak dengan penaja pada 22 November 2012.


“Jadi pihak jawatankuasa membuat keputusan untuk meminta Jabatan Undang-Undang FAM untuk mengeluarkan surat pertuduhan kepada KLFA dan pegawai pasukan itu,” katanya.


Ketika ditanya mengenai nasib lima pemain yang sudah dikenakan hukuman gantung seumur hidup sebelum ini, Taufek menegaskan keputusan itu tidak berubah memandangkan pemain terbabit gagal mengemukakan pembelaan dalam tempoh ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...