Sunday, February 9, 2014

TMJ kutuk insiden di Kuantan

Sumber: Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertamadun segelintir penyokong bola sepak tanah air yang gemar mencetuskan provokasi melampau sehingga membawa kepada pergaduhan.

Tunku Mahkota Johor berkata, apa yang lebih penting adalah penyokong memberi sokongan kepada pasukan masing-masing dan mengelakkan daripada bergaduh sesama sendiri apatah lagi sesama umat Islam.



"Segala persengketaan, provokasi, dan hina-menghina ini tiada manfaatnya dan sekiranya diikutkan perasaan hasad dengki memang tiada kesudahannya.

"Jangan terlalu mudah bangsa Melayu berpecah-belah sehingga diperlekehkan oleh bangsa lain," katanya dalam laman Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta‘zim (JDT) dan JDTII, Johor Southern Tigers semalam.

Tunku Ismail dipercayai mengulas mengenai insiden pergaduhan yang tercetus di luar Stadium Darul Makmur selepas perlawanan Liga Super di antara pasukan Harimau Selatan dan Tok Gajah yang berkesudahan pasukan tuan rumah mencatat kemenangan 3-2 malam semalam.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang dan berharap pasukan JDT berusaha lebih gigih lagi pada masa akan datang.

"Kepada para penyokong Johor dan pasukan negeri lain yang menjaga disiplin dan tingkah laku, syabas saya ucapkan kepada anda semua," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga mahu tindakan tegas diambil kepada penyokong JDT dan negeri lain yang membuat kekacauan.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Johor, Azlan Afandi Saufee Afandi menunggu sebarang keputusan daripada pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Katanya, walaupun sudah menerima beberapa aduan daripada penyokong yang berada di tempat kejadian, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak polis.

"Kami akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan. Sekiranya ada perbuatan penyokong JDT yang didapati melanggar peraturan, kami akan mengambil tindakan terhadap mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...