Sunday, April 20, 2014

Aimar minta lepas, Baihakki direhatkan

Sumber: Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU - Bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar meminta Johor Darul Ta'zim (JDT) melepaskannya manakala tonggak pertahanan, Baihakki Khaizan direhatkan oleh pasukan itu untuk baki perlawanan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Aimar dikatakan minta dilepaskan dengan alasan tidak serasi dengan corak permainan bola sepak tempatan manakala pemain pertahanan terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013, Baihakki pula gagal memikat hati barisan jurulatih JDT yang kini diketuai oleh Bojan Hodak dan Rajko Magic.



Pemain kebangsaan Singapura, Baihakki memaklumkan mengenai keputusan itu menerusi akaun Instagram miliknya, baihakki06 semalam.

"Selamat tinggal kawan-kawan Johor ku, mahu pun di luar padang atau pun di luar sana. Saya ingin ucapkan ribuan banyak terima kasih atas peluang menyarung jersi JDT dan sampai sini saje sumbangan saya.

"Saya tak ingat (fikir) perkara begini boleh berlaku tetapi itu keputusan ahli pelatih (jurulatih). Berjuanglah teman hingga ke garis penamat," tulisnya.

Bekas ketua pasukan Harimau Selatan itu turut memaklumkan mengenai status dirinya yang direhatkan buat sementara waktu dan dijangka akan beraksi semula bersama JDT II musim depan.

Sementara itu, perkara tersebut menjadi isu hangat di laman Facebook dan beberapa peminat JDT menjalankan kempen #savebaihakki di internet selain menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan JDT.

Bagaimanapun buat masa ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung perkara itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...