Saturday, April 19, 2014

FAM kena adil: Jamal

Sumber: Harian Metro
Kuantan: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu meneliti punca kekacauan setiap kali perlawanan membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sebelum menjatuhkan hukuman kepada persatuan bola sepak negeri itu, selaku tuan rumah.
Setiap kali pergaduhan antara penyokong, pasukan tuan rumah menjadi mangsa dan didenda kerana didakwa gagal mengawal penyokong hingga menimbulkan keadaan tidak selamat dalam stadium.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail (gambar) berkata, FAM perlu mencari punca sebenar setiap pergaduhan yang membabitkan penyokong Johor DT terutama di gelanggang lawan.



Menurutnya, mudah untuk menjatuhkan hukuman, tetapi mempersoalkan tindakan berkenaan dapat menyelesaikan episod pergaduhan dan kekacauan setiap kali pasukan itu beraksi di tempat lawan.

“Saya bukan berniat menyebelahi mana-mana persatuan bola sepak negeri, tapi bukti menunjukkan setiap kali perlawanan membabitkan pasukan Johor DT di tempat lawan, kekecohan pasti berlaku sehingga perlu campur tangan pihak polis. “Selagi perkara ini tidak dapat dirungkai, saya yakin kejadian pergaduhan membabitkan penyokong Johor DT akan terus berlaku dan mungkin berlarutan,” katanya.


Jamal berkata, sebelum ini beberapa negeri pernah terbabit dengan pergaduhan penyokong namun kejadian berkenaan berlaku secara tidak sengaja dan tidak berterusan seperti yang berlaku pada penyokong Johor DT sekarang.

Pergaduhan penyokong selain di Ipoh turut membabitkan Pahang di Stadium Darulmakmur yang berkesudahan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) didenda RM30,000.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman perlawanan Pahang dengan Johor DT sebelum ini, penyokong pelawat masuk ke dalam stadium dengan berpakaian hitam dan menutup muka serta melakukan pelbagai provokasi kepada penonton tempatan.

“Mereka datang menyaksikan perlawanan di tempat lawan bukan untuk menyokong pasukan mereka, tapi menimbulkan kekacauan yang akhirnya berlaku pergaduhan. Di penghujung episod, persatuan bola sepak negeri selaku tuan rumah dikenakan hukuman.

“Dalam hal ini, FAM perlu bertindak tegas dan menggunakan kuasa yang ada tanpa berpihak kepada mana-mana persatuan negeri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...