Wednesday, April 9, 2014

Nazmi arkitek baru Selangor

Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Selangor bakal menambah kekuatan menerusi jendela perpindahan pemain ketika ini apabila mendapatkan pemain tengah PKNS FC, Mohd Nazmi Faiz Mansor dan dua pemain import dari Brazil bagi mengharungi baki cabaran Merah Kuning di Liga Malaysia.
Nazmi, 20, yang kini beraksi untuk PKNS FC pernah diangkat pemain tengah berbakat negara sehingga berjaya mengikat kontrak bersama kelab utama Portugal, SC Beira Mar SC pada 2012 namun pulang ke tanah air secara mengejut selepas enam bulan di negara itu.
Difahamkan peluang untuk Nazmi bersama Merah Kuning amat cerah dengan rundingan berlangsung antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan PKNS FC.


“Dia sebenarnya sudah melahirkan hasrat untuk bersama Selangor dengan rundingan kini berlangsung bagi mendapatkan harga yang berpatutan bagi kedua-dua pasukan sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain tempatan.
“FAS kini menunggu reaksi balas PKNS FC untuk meneruskan perpindahan ini,” menurut sumber semalam.
Nazmi sebelum ini membuat kejutan apabila meninggalkan SC Beira Mar untuk mengikat kontrak tiga tahun bersama PKNS pada 2013 dan pemain kelahiran Lembah Keramat itu kini mempunyai kontrak berbaki setahun setengah bersama kelab itu.
Selangor turut menggantikan pemain import dari Brazil, Junior dengan Cleber Barbosa Viana, 28, yang turut beraksi di posisi penyerang dan sayap manakala Evaldo Silva Dos Santos, 31, dijangka menggantikan Steve Pantalidis untuk beraksi pada posisi pertahanan tengah.
Junior mengalami kemerosotan prestasi sejak kebelakangan ini manakala pemain dari Australia, Pantalidis dilihat mempamerkan tahap permainan yang tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan pemain tempatan.
FAS dijangka mengikat dua pemain kelab Caxias FC dari Brazil itu dalam masa terdekat selepas rundingan awal namun kudrat Junior dan Pantalidis terus ditagih untuk baki dua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC kerana pendaftaran pemain baru hanya dibenarkan sekiranya Selangor layak ke pusingan seterusnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...