Thursday, April 3, 2014

Red Warriors tak daftar nama Wan Zack

Sumber: Utusan Malaysia
'
PETALING JAYA - Peminat Wan Zack Haikal Wan Noor tidak akan menyaksikan pemain itu beraksi untuk baki musim Liga Malaysia apabila namanya tidak berada dalam senarai pendaftaran kedua skuad The Red Warriors.

Setakat ini, hanya Brendan Gan dan Mohd. Fitri Omar sahaja didaftarkan oleh Persatuan Bola­sepak Kelantan (Kafa) kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Naib Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, pihaknya hanya menerima dua pendaftaran pemain tempatan oleh Kelantan iaitu Mohd. Fitri Omar dan Brendan manakala Lim Choon Wee digugurkan.



"Setakat hari ini, kami telah menerima pendaftaran dua pemain daripada pasukan Kelantan iaitu Brendan Gan iaitu pemain yang baharu mendapatkan kerakyatan Malaysia dan Fitri Omar yang berpindah dari pasukan ATM.

"Kami hanya mengesahkan pendaftaran Gan dan Fitri sahaja dan saya tidak pasti sama ada Kafa gagal mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) tetapi saya akan menyemak apa yang berlaku serta mendapatkan kepastian dalam soal ini," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM semalam.

Tindakan Kafa itu jelas me­nunjukkan mereka tidak yakin bekas pemain Harimau Muda A itu sempat pulih daripada masalah kecederaan ACL setelah menjalani pembedahan pada Januari lalu untuk bermain pada baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Wan Zack yang masih mempunyai baki kontrak dengan kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu telah mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan Kelantan menjadi destinasi pilihannya setelah Kafa sanggup menebus baki kontrak pemain yang berasal dari Maran, Pahang itu.

Kelantan sebelum ini memiliki 24 pemain dan selepas mereka menggugurkan Choon Wee, mereka masih mempunyai kuota tiga lagi pemain tempatan yang boleh didaftarkan kerana jumlah maksimum pemain yang boleh dipunyai sesebuah pasukan adalah 26 orang.

Mengenai perkembangan lain, Afandi memberitahu FAM telah menerima pendaftaran daripada pasukan-pasukan lain sejak pintu pendaftaran pemain dibuka pada 23 Mac lalu.

“Setakat hari ini (semalam) beberapa pasukan telah membuat pertukaran (pemain) yang mana Sarawak telah menukarkan dua pemain import mereka manakala pasukan-pasukan Liga Premier (seperti) KL SPA, Felda United dan Sabah turut menukarkan pemain import mereka.

“Begitu juga dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang mendaftarkan dua pemain tempatan baharu, Sabah seorang pemain dan DRB Hicom FC seorang pemain," ujarnya.

Selain itu, Afandi berkata jadual separuh akhir kedua Piala FA telah diubah bagi memastikan jadual Liga Malaysia tidak terlalu ketat dengan memberi kelonggaran kepada pasukan yang bertanding.

“Kami telah meneliti semula jadual pertandingan supaya tidak terlalu ketat dan bersetuju untuk meminda tarikh separuh akhir Piala FA namun tidak melibatkan aksi separuh akhir pertama yang tetap berjalan seperti yang dirancangkan pada 5 dan 6 Mei depan.

“Namun, untuk timbal balik kedua akan diadakan pada 30 dan 31 Mei manakala final Piala FA tahun ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 Jun depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...