Saturday, April 19, 2014

Teraju baru?

Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dijangka bakal menyambung legasi ditinggalkan ayahandanya untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila Sultan Ahmad Shah dikatakan bersedia melepaskan jawatan presiden yang disandang sejak 1984.
Spekulasi itu semakin hangat dibangkitkan menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-11 FAM apabila Sultan Ahmad Shah bakal mengumumkan pendiriannya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.


Menurut sumber rapat FAM, Sultan Ahmad Shah sudah membayangkan ini masa tepat untuk berundur bagi memberi laluan kepada Tengku Abdullah yang kini menjawat jawatan Timbalan Presiden FAM.


“Saya difahamkan Tuanku (Sultan Ahmad Shah) sudah bersedia melepaskan jawatan Presiden FAM. Tuanku dikatakan mahu menyerahkan amanat itu kepada Tengku Abdullah bagi meneruskan perjuangan memartabatkan bola sepak negara.

“Dan ketika ini saya percaya Tengku Abdullah adalah calon tepat bagi meneruskan kegemilangan ditinggalkan oleh Tuanku,” katanya semalam.


Biarpun Kongres Pemilihan FAM ke-50 hanya akan berlangsung pada 25 Mei, namun semuanya akan terjawab apabila dua calon, Sultan Ahmad Shah dan Tengku Abdullah bakal mengumumkan pendirian masing-masing sama ada mahu menerima pencalonan ahli gabungan untuk bertanding jawatan presiden hari ini.

Tumpuan kini lebih terarah kepada dua tokoh bola sepak tanah air itu selepas seorang lagi calon, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik diri daripada merebut kerusi nombor satu itu kerana mahu memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak di Johor.

Namun kata putus kini di tangan Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) kerana jika beliau masih berminat untuk kekal menerajui FAM bagi meneruskan beberapa agenda penting yang belum selesai seperti pembinaan ibu pejabat FAM di Putrajaya, sudah pasti Tengku Abdullah menolak untuk mencabar ayahandanya dan memilih untuk bertanding kerusi timbalan presiden.

Bagaimanapun berdasarkan jumlah pencalonan sebelum ini, angin perubahan dijangka berlaku bagi pucuk pimpinan FAM apabila Tengku Abdullah mendapat lebih banyak sokongan berbanding Sultan Ahmad Shah dan Tunku Ismail.

Sekiranya perubahan itu benar-benar berlaku, perebutan jawatan timbalan presiden pula dijangka bakal ditentukan oleh calon pilihan iaitu Naib Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah serta Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor Datuk Mokhtar Ahmad.


Senarai akhir calon yang bakal bertanding bagi merebut empat kerusi naib presiden, lapan Exco lelaki dan dua wanita turut bakal diketahui hari ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...