Friday, May 23, 2014

Anak watan taruhan Boateng

Sumber: Harian Metro
Kota Bharu: Kredibiliti anak watan semakin menyerlah di bawah kendalian jurulatih George Boateng terutama selepas Kelantan mengharungi tiga perlawanan sebelum ini.
Pengendali kelahiran Ghana itu nyata bijak mengatur gerakan bagi membolehkan semua pemainnya beraksi terutama dalam saingan menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad IV di sini apabila memenangi 2-1 tanpa kelibat dua tonggak penyerang import.

Malah nama pemain tengah, Mohd Khairul Izuan Rosli, 23, turut meniti bibir peminat gergasi Pantai Timur itu apabila mempamerkan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan di bawah kendalian Boateng.

Mohd Khairul Izuan atau dikenali sebagai Iwe Seli dalam kalangan peminat pula mengakui peningkatan itu disebabkan corak latihan berbeza Boateng yang mampu diguna pakai pemain ketika beraksi di padang.
“Beliau amat menekankan semangat kerjasama sepasukan dalam setiap latihan dan teknik yang diajar juga mudah diserap pemain.

“Ini kerana tumpuan sentiasa diberikan kepada semua pemain dan beliau sendiri turut bersama di tengah padang, memerhati serta memberi tunjuk ajar secara terperinci kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas selesai menjalani sesi latihan, semalam.

Pada perlawanan menentang PKNS FC, Khairul kelihatan menonjol dengan aksi menarik yang banyak membantu pasukannya.
Berikutan itu, Boateng memberi kepercayaan untuk meletakkannya sebagai tonggak serangan ketika The Red Warriors (TRW) menentang Perak dan pemain muda itu tidak menghampakan malah berjaya menyumbangkan gol kemenangan pada minit ke-77.

Katanya, kepercayaan Boateng kepada semua pemain disertakan dengan kata-kata semangat yang membuatkan mereka sentiasa teruja setiap kali turun beraksi.
“Sikap Boateng yang mudah mesra semangat ikhlas yang diluahkannya membantu kami meningkatkan mutu permainan,” katanya.

“Selain itu nasihat rakan sepasukan juga mendorong saya sendiri untuk bermain dengan lebih baik,” katanya.

Kelantan yang kini berada di tempat kelima liga dengan 25 mata selepas beraksi 16 perlawanan akan menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...