Friday, May 30, 2014

Pasukan Malaysia dalam Liga Juara-juara

Sumber: Utusan Malaysia

PETALING JAYA - Sebuah pasukan dari Liga Malaysia bakal beraksi dalam Liga Juara-juara pada 2015, dengan satu slot playoff diperuntukkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, itu hanya akan berlaku jika proses pelesenan di bawah kendalian AFC berjalan lancar.

Penolong Setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Lazarus Xavier berkata, semua kelab diminta menghantar lengkap permohonan lesen kepada AFC selewat-lewatnya 31 Oktober ini dengan mematuhi lima kriteria utama iaitu pengurusan sukan, pentadbiran, undang-undang, infrastruktur dan kewangan.



Selain daripada itu, Lazarus menjelaskan tidak pernah wujud istilah pemberian gred terhadap mana-mana liga oleh AFC dan itu bukan menjadi punca mengapa pasukan dari Liga Malaysia tidak pernah bersaing dalam Liga Juara-juara Asia.

"FAM meletakkan sasaran agar ada sebuah pasukan dari Liga Malaysia akan bermain dalam slot playoff Liga Juara-juara pada 2015 dan langkah pertama yang perlu diambil bagi memastikan ada pasukan kita layak bersaing adalah mereka perlu memohon lesen daripada AFC.

"Setakat ini, maklum balas yang ditunjukkan oleh wakil-wakil dari setiap pasukan sepanjang seminar yang diadakan hari ini (semalam) begitu positif namun terlalu banyak kerja mesti dilakukan sebelum hasrat itu mampu direalisasikan.

"Buat masa ini, 24 pasukan layak bersaing dalam Liga Juara-uuara dan kelab dari Malaysia tidak boleh mendapat slot secara terus sebaliknya perlu bersaing dalam playoff.

"Jika pasukan ini terkandas di peringkat playoff, mereka tetap mendapat slot bermain dalam Piala AFC bersama-sama sebuah pasukan lain dari Malaysia yang mendapat kelayakan automatik.

"Sama ada juara Liga Super atau Piala FA yang akan mendapat slot berkenaan, itu terpulang kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang baharu untuk tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bengkel FAM-AFC mengenai pelesenan sesebuah kelab, yang turut dihadiri Pengerusi Kajian dan Sokongan AFC, Steve Tae H. Kim dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak yang melabelkan Liga Malaysia berada dalam Gred D, Lazurus hairan dari mana maklumat tersebut datang kerana AFC tidak pernah mengadakan sistem penggredan untuk mana-mana liga.

"Di AFC tidak pernah ada Gred A, B, C atau D, hanya ranking berdasarkan pertandingan anjuran AFC sahaja menjadi penilaian kami.

"Hanya melalui pelesenan kelab di bawah AFC, itu yang sentiasa menjadi penghalang kepada mana-mana pasukan dari negara ini apabila mahu beraksi dalam Liga Juara-juara Asia.

"Perkara ini boleh menjadi penghalang kepada mana-mana pasukan untuk bermain di peringkat playoff. Sekiranya menjuarai Liga Super atau Piala FA sekali pun tetapi tidak memohon lesen, mereka tidak layak dan slot itu akan diberikan kepada pasukan kedua terbaik serta mempunyai lesen daripada AFC.

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya enam pasukan dari Liga Super mempunyai lesen daripada AFC pada musim hadapan," katanya.

Tambah Lazarus, masalah stadium berkelas A untuk digunakan dalam saingan Liga Juara-juara bukan menjadi satu bebanan kerana Malaysia mempunyai dua stadium yang boleh digunakan pada bila-bila masa iaitu Stadium Nasional di Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam.

"Setiap pasukan tidak perlu mempunyai stadium sendiri yang diiktiraf berkelas A memandangkan kita sudah ada di Bukit Jalil dan Shah Alam, itu pun sudah cukup bagi mana-mana pasukan mendapatkan lesen," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...