Tuesday, June 10, 2014

Penangan cirit-birit

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Gara-gara keracunan makanan, 14 pemain Perlis mengalami cirit-birit sehingga perlawanan Liga Perdana menentang UiTM di Stadium UiTM, Shah Alam semalam terpaksa ditunda.

Kesemua pemain terbabit terpaksa mendapatkan rawatan di klinik UiTM kira-kira dua jam sebelum perlawanan bermula pada jam 4.45 petang dan selepas mendapat pengesahan pegawai perubatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perlawanan itu ditangguhkan ke hari ini.



Menurut Pegawai Media Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Saifulnizan Othman, pihaknya masih menyiasat punca masalah yang dialami hampir sebahagian pemain termasuk tiga pemain import Mourad Faris, Dao Bakary dan Bamba valy Sinaly itu.

“Kami terkejut apabila ramai pemain cirit-birit sebelum perlawanan petang tadi (semalam).

Kami belum mengetahui punca masalah ini, mungkin di sebabkan makanan yang diambil pemain malam semalam sebaik tiba di Shah Alam (kelmarin).

“Hampir kesemua pemain yang sakit itu pemain utama, kesemua mereka terpaksa mendapatkan rawatan di klinik UiTM kira-kira jam 3 petang.

Selepas mengadakan perbincangan dengan pihak UiTM dan FAM, perlawanan itu ditunda jadi kami harap kesemua pemain terbabit kembali pulih untuk beraksi esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Pertembungan menentang UiTM hari ini cukup penting buat Perlis yang kini bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran apabila berada di tangga kedua tercorot daripada 12 pasukan.

Berikutan jurulatih Reduan Abdullah direhatkan pihak pengurusan, penolongnya Zulhamizan Zakaria mempunyai misi cukup penting untuk memastikan bekas juara Liga Super 2005 itu mengutip tiga mata penuh hari ini.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...