Monday, July 21, 2014

Tingkat ranking

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Pertemuan dengan Tajikistan pada aksi persahabatan antarabangsa 8 Ogos ini bukan sekadar perlawanan ujian buat skuad kebangsaan sebaliknya ia peluang terbaik untuk anak buah Dollah Salleh memperbaiki ranking negara.

Sebaik ranking terbaru dunia dikeluarkan FIFA minggu lalu, Malaysia memperlihatkan sedikit peningkatan apabila menghuni tangga ke-151, meningkat dua anak tangga meskipun tidak beraksi dalam banyak perlawanan bertaraf A tahun ini.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi ketika seri 0-0 dengan Filipina di Cebu pada 27 April lalu, iaitu perlawanan ketiga bagi 2014 selepas menewaskan Yaman, 2-1 pada pusingan kelayakan Piala Asia dan seri tanpa jaringan dengan Filipina pada pertemuan pertama Mac lalu.



Melihat kepada kedudukan ranking itu pengurus baru pasukan kebangsaan Datu Sudarsono Osman berkata, skuad kendalian Dollah perlu serius dalam setiap perlawanan apatah lagi membabitkan aksi bertaraf A.

“Skuad kebangsaan mempunyai dua objektif utama, mendapatkan keputusan baik untuk memperbaiki ranking dunia serta cuba memenangi setiap pertandingan disertai seperti Piala AFF.

“Memang aksi persahabatan memberi peluang kepada jurulatih untuk menguji pemain, namun kita juga perlu mengambil serius kerana jika gagal, ia boleh menjejaskan ranking,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Ternyata pendekatan Sudarsono itu yang memenangi kerusi Naib Presiden FAM pada kongres pemilihan Mei lalu itu berbeza dengan pengurusan skuad kebangsaan yang sebelum ini menganggap ranking tidak penting.

Bagaimanapun ujian pertama Dollah bersama pengurusan baru skuad kebangsaan itu bermula dengan aksi persahabatan menentang Tajikistan, pasukan yang menduduki ranking ke-124 dunia.

Kemenangan di gelanggang lawan itu bukan saja dapat melebarkan rekod tanpa kalah dilakar bekas pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee setakat ini malah ia mampu melonjak ranking negara ke tangga lebih baik.

Namun ia bukan pertemuan yang mudah kerana pasukan kendalian Mukhsin Mukhamadiev itu tetap mampu menghadirkan ancaman buat anak buah Dollah yang mempunyai masa singkat untuk melakukan persiapan.

“Semua pemain berkumpul pada 1 Ogos dan mereka hanya berlatih empat hari sebelum ke Tajikistan.

Kami terpaksa memanggil kebanyakannya muka-muka lama bagi perlawanan kali ini dan saya harap kami akan mendapat keputusan yang baik di sana nanti,” kata Sudarsono.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...