Thursday, October 30, 2014

Kejohanan AFF: Kebimbangan Dollah jadi nyata

Sumber: Utusan Online

KUALA LUMPUR – Dollah Salleh terpaksa berdepan dengan apa yang dikhuatirinya sebelum ini, iaitu pasukannya terpaksa bermain di padang tiruan Stadium Jalan Besar dalam Kejohanan AFF di Singapura bulan depan.

Singapura selaku tuan rumah telah menetapkan dua perlawanan awal Kumpulan B iaitu menentang Myanmar (23 November) dan Thailand (26 November) yang akan dilalui Harimau Malaya bakal dilangsungkan di Stadium Jalan Besar.

Skuad dibimbing Dollah itu hanya akan bermain di atas rumput sebenar apabila bertemu tuan rumah dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 29 November di Stadium Nasional.




Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya telah dua kali membuat rayuan agar lokasi perlawanan ditetapkan di Stadium Nasional sahaja namun Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) mendapati mutu padang di Stadium Nasional tidak berada pada tahap terbaik untuk dilangsungkan dua perlawanan secara berturut-turut dalam hari yang sama di situ.

“Pihak FAS telah memberikan maklum balas bahawa padang (Stadium Nasional) tidak berada dalam keadaan terbaik bagi memberi laluan kepada dua perlawanan secara berturut-turut dalam satu hari selain kemudahan tempat latihan yang belum bersedia,” katanya selepas sidang akhbar mesyuarat Jawatakankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 semalam.

Ini menjadikan aksi skuad negara yang dijadualkan pada 5 petang ketika berdepan Myanmar dan Thailand di Stadium Nasional terpaksa diubah ke Stadium Jalan Besar.

“Kami telah mengemukakan dua rayuan kepada Persatuan Bola Sepak ASEAN dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) supaya mengkaji balik perubahan venue pertandingan.

“Namun, setelah berbincang dengan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, kita terpaksa akur bermain di Stadium Jalan Besar semasa menentang Myanmar dan Thailand.

Situasi itu menyebabkan skuad Harimau Malaya membuat perubahan drastik dengan mengadakan latihan di atas padang sintetik sebagai tujuan penyesuaian apabila beraksi di Jalan Besar.

“Kami terpaksa berlatih di Bukit Jalil untuk tempoh seminggu terakhir, kami masih ada pilihan untuk mengadakan latihan di Kluang, Johor yang turut mempunyai kemudahan padang sintetik.

“Perubahan venue ini bukan satu tamparan besar kepada persiapan Harimau Malaya memandangkan Dollah masih boleh menerima kerana kita bukannya menentang Singapura di Jalan Besar.

“Kita sebenarnya boleh ambil kelebihan di sini kerana saya difahamkan Myanmar tiada padang sintetik. Thailand ada padang tiruan namun para pemain kita selalu bermain di Jalan Besar dalam saingan Liga Malaysia, jadi di situ kita ambil kesempatan.

“Walaupun beraksi di Jalan Besar akan mengurangkan jumlah penonton Harimau Malaya kerana kapisiti stadium yang kecil namun kita sudah tiada pilihan lain,” katanya.

Selain itu, Hamidin tidak menolak kemungkinan aksi persahabatan Harimau Malaya berdepan Syria yang dijadualkan pada 12 November bakal diadakan di Johor bagi menyelaraskan tempoh latihan dari 3 hingga 9 November.

“Saya tidak tolak kemungkinan itu (Harimau Malaya bermain di Johor) namun kita kena nyatakan dahulu kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Bermain di Johor akan mendekatkan penyokong Johor dengan pasukan Harimau Malaya supaya mereka ada keghairahan untuk ke Singapura bagi memberikan sokongan semasa Kejohanan AFF berlangsung,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...