Saturday, November 22, 2014

Benam Myanmar

Sumber: Harian Metro

Singapura: Penyerang Harimau Malaya Norshahrul Idlan Talaha tekad menamatkan kemarau jaringan di pentas antarabangsa dengan menjadikan pertemuan menentang Myanmar pada aksi pertama Kumpulan B Piala AFF di Stadium Jalan Besar, esok sebagai titik kebangkitannya.

Kali terakhir pemain berusia 27 tahun itu menggegar gawang bersama skuad kebangsaan lebih setahun lalu ketika seri 1-1 dengan Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia.

Walaupun prestasinya dalam Liga Malaysia bersama Johor Darul Ta’zim musim ini kurang menyerlah apabila gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama, namun dia masih mendapat kepercayaan jurulatih Dollah Salleh untuk bergandingan dengan Mohd Amri Yahyah bagi menjana serangan Harimau Malaya.



“Misi saya kini untuk mencari gol pertama bersama skuad kebangsaan selepas agak lama gagal melakukannya.

“Saya akan melakukan yang terbaik demi membantu kemenangan pasukan menentang Myanmar nanti,” katanya ketika ditemui selepas tamat latihan Harimau Malaya di Sekolah Sukan Singapura, semalam.

Norshahrul yang menjadi tonggak utama kejayaan skuad kebangsaan menjulang Piala AFF buat kali pertama pada 2010 dilihat semakin mendapat rentak meskipun gagal menjaringkan gol ketika tewas 1-3 kepada Vietnam pada aksi persahabatan di Hanoi Ahad lalu.

“Saya tidak puas hati dengan permainan saya tempoh hari menentang Vietnam kerana yakin boleh melakukan lebih baik,” katanya yang terlepas dua peluang terbaik meledak jaringan.

Jika sebelum ini Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo cukup digeruni bersama Safee Sali, namun Dollah lebih berminat menurunkannya bersama Amri dalam beberapa siri persahabatan sebelum ini.

“Tidak kira siapa yang akan bermain, saya percaya mereka pasti memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit,” katanya yang bakal menyertai ATM musim depan.

Dalam kempen Piala AFF kali ini, Malaysia berdepan pasukan juara pusingan kelayakan Myanmar, finalis tahun lalu Thailand dan juara bertahan Singapura dalam Kumpulan B bagi mencari tempat ke separuh akhir.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...