Tuesday, November 18, 2014

Syamsol pilihan T-Team

Sumber: Harian Metro

Kuala Terengganu: Jurulatih pasukan bola sepak belia Perak Mohd Syamsol Saad menjadi pilihan T-Team untuk membimbing pasukan itu dalam kancah Liga Premier musim depan.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Syahrizan Mohd Zain berkata, jurulatih berusia 39 tahun kelahiran Taiping, Perak itu calon terbaik berikutan The Titans mempertaruhkan 90 peratus pemain muda.

Menurutnya, pihak pengurusan T-Team juga sudah mengadakan rundingan dengan bekas pemain pertahanan Perak dan Terengganu itu, namun beliau masih belum memberi sebarang keputusan.



“Kita berasa bekas penolong pasukan Liga Super Perak itu layak melatih The Titans kerana sudah terbukti berjaya dalam kariernya membimbing skuad belia Perak,” katanya semalam.

Mohd Syahrizan berkata, kejayaan Syamsol membawa Perak muncul juara Piala Presiden dan pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis sudah cukup untuk dijadikan ukuran pencapaiannya sebagai jurulatih.

Menurutnya, pihaknya memang mengharapkan sentuhan pengendali itu bagi menggantikan Anuar Abu Bakar yang memilih menyertai Selangor bagi saingan musim depan.

“Kita kini menunggu jawapan kerana bekas pertahanan kebangsaan pada 2004 itu mahu terlebih dulu memikirkan tawaran T-Team sebelum memberikan keputusan muktamad.

“Biarpun T-Team akan dibarisi pemain Piala Presiden musim depan, tonggak berpengalaman musim ini seperti ketua pasukan, Marzuki Yusof, Faizal Mohamad, Shahril Faizal Sharifuddin dan Mohd Hasbullah Awang masih dikekalkan,” katanya.

Syamsol tidak asing di Terengganu kerana pernah menyarung jersi skuad Penyu pada 1998 hingga 1999 sebelum pulang ke pangkuan pasukan kelahirannya, Perak hingga bersara.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...