Saturday, January 10, 2015

Azam tekad tingkat prestasi

Sumber: Harian Metro

Kuantan: Biarpun sedar peluang untuk diserapkan dalam kesebelasan utama agak tipis, bekas pemain Harimau Muda B, Mohd Nor Azam Azih tetap dengan misi menambat perhatian pengurusan skuad Tok Gajah musim ini.

Pemain kelahiran Jengka 21, Maran itu berkata, kehadirannya bersama skuad kendalian Zainal Abidin Hassan diharap memberikan petanda positif terutama menimba sebanyak mungkin pengalaman bersama Pahang yang juga juara treble, musim lalu.



Katanya, peluang diberikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan kualiti permainan lantaran saingan Liga Malaysia, terutama Liga Super memerlukan komitmen tinggi.

“Namun, saya sedar bukan mudah untuk berada dalam kelompok 11 pemain terbaik tapi dengan usaha dan keazaman, tiada yang mustahil,” katanya semalam.

Menurutnya, apa yang penting memberikan persembahan terbaik sepanjang sesi latihan biarpun terpaksa bersaing dengan pemain lebih berpengalaman seperti Azamuddin Mohd Akil, R Gopinathan dan Azidan Sarudin di bahagian tengah.

Musim lalu, Mohd Nor Azam bersama skuad Harimau Muda B di bawah kendalian Razip Ismail tetapi sebelum itu memulakan kerjaya dengan skuad Piala Presiden Pahang yang mendapat sentuhan bekas pemain kebangsaan, Azaruddin Aziz pada musim 2013.

Katanya, kembalinya ke pangkuan pasukan senior diharap mematangkan lagi corak permainan memandangkan cabaran besar bakal diharungi Tok Gajah untuk mempertahankan tiga gelaran diraih musim lalu.

“Perbezaan corak latihan dikendalikan jurulatih juga banyak membantu memperkemaskan lagi kemahiran sedia ada untuk diserapkan setiap kali perlawanan,” katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kehadiran Azam diharap membantu memperkemaskan lagi pasukan terutama di bahagian tengah.

Katanya, pengalamannya bersama Harimau Muda B terutama di peringkat antarabangsa diharap meningkatkan lagi kualiti permainan.

“Saya tertarik dengan kemahiran dimilikinya dan kehadirannya dalam pasukan akan mematangkan lagi corak permainannya biarpun terpaksa bersaing dengan pemain lebih berpengalaman,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...