Saturday, January 24, 2015

FAM belum muktamadkan jumlah pengagihan untung

Sumber: Utusan Online

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum menetapkan jumlah khusus pengagihan keuntungan hasil dari­pada kerjasama mereka de­ngan syarikat hak media sukan terkemuka MP & Silva.

Sebelum ini badan induk bola sepak kebangsaan itu mengumumkan, MP & Silva dan badan gabungan atau kelab akan bekerjasama di bawah Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang akan diwujudkan, dan akan menjana keuntungan berjumlah RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun.

Pengumuman awal yang dibuat menyatakan, 40 peratus jumlah pendapatan itu akan diberi kepada FAM untuk tujuan pembangunan sementara 30 peratus kepada pasu­kan yang bertanding mana­kala 20 peratus untuk perbelanjaan liga dan 10 peratus kepada pembangunan jurulatih.



Bagaimanapun, terdapat beberapa pihak tidak berpuas hati dengan pengagihan itu selain mempersoalkan kenapa FAM diberikan peratusan yang lebih besar berbanding pasukan yang bertanding di dalam Liga Malaysia.

Bendahari FAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, jumlah pengagihan sebenar pendapatan itu masih belum ditetapkan dan jumlah yang dinyatakan sebelum ini hanya perancangan awal.

“Kami akan mengadakan bengkel dan seminar bagi memberikan kefahaman kepada semua pihak terlibat bagi melihat penerimaan mereka terhadap kerjasama ini.

“Jumlah yang ditetapkan sebelum ini adalah sebagai permulaan kerana kita perlu ada satu angka sebelum memulakan perkara ini.

“Selepas itu kami akan me­ngadakan kongres bagi mendapatkan maklum balas serta input daripada semua yang berkepentingan bagi memastikan mereka ber­puas hati sebelum jumlah sebenar diputuskan,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandata­ngani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MP & Silva di sini semalam.

Menerusi perjanjian itu, FAM dijanjikan sekitar RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun, dengan kontrak bertempoh 6+3+3+3 tahun, dan jika dalam enam tahun pertama mereka gagal mencapai jumlah yang disasarkan, badan induk bola sepak kebangsaan itu akan menamatkan kontrak dengan syarikat itu.

MP & Silva yang mempunyai 18 pejabat di serata dunia dikenali kerana memegang hak penyiaran bagi Piala Dunia 2014, Serie A, Liga Perdana Inggeris (EPL), Ligue 1, Major League Soccer (MLS) dan Formula Satu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...