Thursday, January 8, 2015

Nasib Gary diketahui Jumaat depan

Sumber: Harian Metro

Kelana Jaya: Nasib pemain tengah kontroversi Gary Steven Robbat bakal diketahui Jumaat depan selepas dia dipanggil menghadap Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara menandatangani kontrak dengan dua pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Pahang musim ini.

Pertemuan itu juga bakal merungkai persoalan sama ada Gary, 22, adalah milik negeri kelahirannya Kedah atau sebaliknya selepas tamat kontrak dengan Harimau Muda A bulan lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Datuk Takiyuddin Hassan, Gary sudah membalas surat tunjuk sebab kepada FAM semalam dan pihaknya sedia untuk memanggil semua pihak terbabit bagi mencari jalan penyelesaian.



“Kes Gary akan didengar pada Jumaat akan datang (16 Januari). Apa keputusannya kita lihat pada hari itu. Surat (tunjuk sebab) itu sudah sampai kerana itu kita tetapkan (perbicaraan) pada Jumaat depan.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut tapi semua pihak terbabit akan dipanggil,” katanya pada sidang media semalam.

Isu perpindahan Gary ke skuad Harimau Selatan menjadi perhatian selepas pemain kelahiran Kulim itu didakwa sudah menandatangani kontrak bersama skuad juara Piala Malaysia Pahang terlebih dulu.

Tambah rumit, Kedah juga tidak mahu mengalah sebaliknya menuntut tonggak Harimau Malaya yang muncul naib juara Piala AFF 2014 itu menyertai mereka seperti ditetapkan FAM ke atas bekas pemain Harimau Muda ataupun mendapatkan pelepasan pasukan negeri dulu sebelum mahu menyertai pasukan luar.

FAM boleh menghukum mana-mana pemain atau persatuan yang melanggar peraturan dalam urusan kontrak dan perpindahan pemain namun sehingga kini tiada kes pemain digantung apabila badan induk itu tampak terlalu berlembut.

Untuk rekod FAM hanya mengarahkan Amirulhadi Zainal membayar denda RM25,000 kepada Pahang atas kesalahan melanggar kontrak bersama pasukan itu dengan menyertai Johor DT pada 2013 manakala ATM pula hanya membayar sagu hati RM5,000 kepada Terengganu bagi mendapatkan khidmat Affize Faisal Mamat yang tamat kontrak bersama Harimau Muda A dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...