Sunday, January 18, 2015

SAFA pecat O'Callaghan, Fazrul

Sumber: Utusan Online

KOTA KINABALU – Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bertindak memecat serta merta pengurusnya, George O'Callaghan yang gagal me­nunjukkan muka selama seminggu dengan pasukan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif SAFA, Datuk Seri Dr. T.C Goh berkata, selain tindakan tegas tersebut dikenakan terhadap O'Callaghan, persatuan bola sepak negeri turut mengenakan tindakan sama ke atas Fazrul Nawaz yang gagal mengha­diri sesi latihan.

Katanya, persatuan memandang berat kesalahan yang dilakukan oleh O'Callaghan dan penyerang dari Singapura tersebut kerana SAFA sangat menitik beratkan soal disipilin dalam kalangan pemain serta pegawai.



"Berkuat kuasa pada hari ini, SAFA mengambil tindakan tegas dengan memecat dua individu tersebut ke­rana melakukan kesalahan disiplin yang berat dan tugas Ketua Jurulatih diserahkan kepada Justin Ganai.

"SAFA sama sekali tidak akan berkompromi sekiranya ia melibatkan salah laku atau masalah disiplin yang dilakukan oleh pemain atau pegawai kerana kita mahu semua pihak memberi kerjasama serta komitmen penuh kepada pasukan ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengenalan pemain jersi pasukan bola sepak Sabah, semalam.

Selain itu dalam majlis sama, SAFA turut mengumumkan penggunaan semula maskot badak untuk pasukan bola sepak negeri itu bagi menggantikan maskot helang yang digunakan sebelum ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden SAFA, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah.

Yang hadir sama Timbalan Pre­siden SAFA I, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri dan Timbalan Presiden SAFA II, Datuk Lawrence Limbang.

Mengulas lanjut, Goh berkata, dia sendiri akan memegang jawatan Pengurus pasukan bagi menggantikan O'Callaghan.

Menurutnya, kegagalan O'Callaghan menunjukkan muka dalam tempoh seminggu sudah cukup untuk SAFA mengenakan tindakan drastik tersebut, sekali gus memastikan tahap disiplin dalam kalangan pemain dan pihak pengurusan sentiasa berada di tahap tertinggi.

Dalam majlis sama, Musa yang memberi ucapan ringkas turut mengingatkan pemain dan pegawai persatuan untuk memberi kerjasama penuh terhadap tugas masing-masing, selain sentiasa menjaga disiplin diri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...