Saturday, February 14, 2015

Dilema Hodak

Sumber: Harian Metro Online

Johor Bahru: Status dua pemain import Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Luciano Figueroa dan Marcos Antonio sama ada beraksi pada pertembungan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam, malam ini masih belum dipastikan.

Pengendali Johor DT Bojan Hodak berkata, Figueroa dan Antonio sudah kembali menjalani latihan padang dan tahap kecergasan kedua-dua pemain perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka sedia beraksi pada perlawanan menentang PDRM.

Katanya, kelibat kedua-dua pemain itu jika diturunkan mungkin tidak sepanjang perlawanan sebaliknya dalam tempoh 70 minit bagi memastikan kecederaan dialami tidak berulang.



“Luciano dan Marcos sudah kembali jalani latihan, tapi mereka tidak harus memaksa diri kerana bimbang kecederaan berulang dan boleh menyebabkan mereka terpaksa berehat panjang.

“Safiq Rahim juga tidak akan bermula sebagai pemain utama sebaliknya berada di bangku simpanan kerana dia sudah mengharungi tiga perlawanan dan sentiasa menyebabkan pemain itu alami kekejangan.

“Kami tidak boleh ambil mudah PDRM sebagai pendatang baru Liga Super malah pasukan itu yang mengalami kekalahan ke atas LionsXII baru-baru ini pasti akan bangkit dan kami perlu berwaspada,” katanya.

Hodak juga berkata, kelicikan dua tonggak import PDRM, Ali Ashfaq dan Dramane Traore perlu diawasi tatkala kedua-dua pemain itu cukup berbisa terutama Ali yang muncul penjaring terbanyak ketika membantu PDRM muncul juara Liga Perdana musim lalu.

Malah pengendali dari Croatia itu tidak menolak Johor DT akan berdepan tentangan sengit daripada barisan pemain pasukan itu yang mahu mencari kemenangan pertama dan kekuatan posisi tengah diterajui Ahmad Ezrie Shafizie Sazali serta bekas pemain Johor DT, Nurul Azwan Roya mampu beri ancaman.

“Barisan pertahanan PDRM juga tampak ampuh apabila menggunakan khidmat dua pemain kebangsaan, Muslim Ahmad dan Aliff Amiruddin dan penyerang Johor DT perlu bijak untuk mencari ruang dan mencipta jaringan.

“Kami tidak pernah menentang PDRM, namun untuk memastikan kemenangan memihak kepada Johor DT, setiap pemain perlu memainkan peranan dengan mempamerkan aksi terbaik untuk membawa pulang tiga mata,” kata Hodak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...