Sunday, February 8, 2015

KL boleh lupakan bermain di Stadium Merdeka lagi?

KETUA pasukan Sabah, El Hadji Diouf terjatuh setelah diasak pemain
KETUA pasukan Sabah, El Hadji Diouf terjatuh setelah diasak pemain Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Merdeka kelmarin. Diouf kemudiannya mengkritik kualiti padang stadium berkenaan yang teruk

Sumber: Utusan Online

KUALA LUMPUR Yang pertama dan terakhir. Perlawanaan pembukaan Liga Perdana antara Kuala Lumpur dan Sabah pada Jumaat lalu mungkin merupakan perlawanan tunggal dilangsungkan di Stadium Merdeka pada musim ini.

Kemungkinan itu akan menjadi realiti jika langkah penyele­saian yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diterima, berikutan kualiti teruk padang di stadium pa­ling bersejarah itu.



Untuk mengelakkan cada­ngan itu daripada diterima hanyalah dengan syarat Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mesti memastikan bahawa Stadium Merdeka adalah ‘gelanggang eksklusif’ bagi mereka sepanjang musim ini agar kualiti padangnya terjaga.

Pengerusi JKPT FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, Stadium Merdeka sepatutnya dikecualikan daripada sebarang program lain se­perti perlawanan amal dan konsert kerana boleh menjejaskan mutu padang jika digunakan terlalu kerap.

Tambahnya, FAM tidak boleh dipersalahkan mengenai isu kerosakan padang di Stadium Merdeka kerana dalam pemeriksaan kali pertama sebulan lalu, stadium berkenaan bebas daripada sebarang masalah namun selepas itu terlalu banyak aktiviti bukan berkaitan bola sepak berlaku di situ sehingga merosakkan padang.

“Kerosakan padang di Stadium Merdeka saya lihat ada kaitan de­ngan kegagalan pihak KLFA menjadikan stadium itu khas untuk mereka gunakan dalam Liga Malaysia sahaja, sebaliknya stadium ini terbuka untuk sesiapa pun me­ngadakan apa jua program, tidak kira konsert atau perlawanan amal.

“Sedangkan ini salah satu syarat yang wajib dipatuhi oleh kebanyakan pasukan jika mahu menjadikan sesebuah stadium sebagai tempat sendiri dan kegagalan mendapatkan hak tersebut membuatkan masalah-masalah sebegini terjadi.

“Oleh itu KLFA kena berusaha mendapatkan hak ini daripada pihak berkuasa yang menguruskan Stadium Merdeka.

“Saya difahamkan, sebelum perlawanan Kuala Lumpur dan Sabah, sebuah konsert baru sahaja diadakan di situ dan jelas terdapat kerosakan di atas padang kesan daripada konsert berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Afandi juga mendedahkan, pihak JKPT sebenarnya telah menye­dari masalah berkenaan 24 jam sebelum perlawanan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada stadium lain yang boleh dijadikan pengganti di saat-saat akhir.

“Sehari sebelum perlawanan, pegawai saya telah menyedari masalah di Stadium Merdeka ketika melakukan pemeriksaan dan mendapati ada beberapa tempat di atas padang sedikit botak dan rumput baru ditampal.

“Kami ada mencadangkan beberapa stadium sebagai ganti namun semuanya telah terikat dengan jadual perlawanan lain, sebagai contoh Stadium Selayang yang bakal digunakan oleh Felda untuk aksi Liga Super keesokan harinya. Jadi memang tidak sesuai manakala Stadium Maybank hanya sesuai untuk Liga FAM sementara Kelana Jaya ada perlawanan lain.

Pemain import Sabah yang juga bekas penyerang Senegal dan Liverpool, El-Hadji Diouf melemparkan kritikan pedas terhadap mutu padang di Stadium Merdeka selepas perlawanan Jumaat lalu sambil menyifatkan jika mengetahui lebih awal masalah berkenaan, dia tidak akan memilih beraksi di Malaysia.

Afandi juga mengesahkan aksi Liga Perdana yang akan datang di Stadium Merdeka akan dipindahkan ke gelanggang lain dan KLFA bakal diberi masa untuk membaik pulih padang jika masih berhasrat menjadikan stadium penuh bersejarah itu sebagai laman sendiri dalam baki saingan Liga Perdana.

“Di mana stadium yang akan menjadi gelanggang kepada Kuala Lumpur selepas ini saya tidak boleh beritahu lagi kerana kami masih mencari stadium berdekatan yang bersesuaian,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...