Tuesday, February 10, 2015

Terengganu lepaskan Chaito

Sumber: Utusan Online

KUALA TERENGGANU – Terengganu hampir pasti tidak dapat menggunakan khidmat penyerang import kelahiran Lebanon, Hassan ‘Moni’ Chaito bagi menghadapi sekurang-kurangnya empat perlawanan liga selain satu aksi Piala FA musim ini.

Pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan yang agak serius ketika diturunkan dalam beberapa perlawanan pra musim baru-baru ini.
Difahamkan, kecederaan hamstring yang dialami Chaito pada sesi latihan berlarutan sehingga memaksa dia diketepikan dalam aksi sulung Liga Super menentang Se­langor, Sabtu lalu.



Dengan ketiadaan Chaito, ini bermakna, hanya tiga tonggak import iaitu Vincent Bikana, Gustavo Lopez dan Paolo Rangel akan menjadi sandaran skuad Penyu sekurang-kurangnya sehingga tempoh jendela perpindahan pemain dibuka semula April ini.

Ekoran kece­de­raan jangka panjang yang dialami Chaito, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) juga dikatakan sedia berunding untuk membuat bayaran pampasan dengan pemain berusia 26 tahun itu sekiranya kontrak penyerang itu ditamatkan lebih awal daripada yang sepatutnya iaitu November depan.

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Drahman berkata, Chaito juga telah meminta pelepasan daripada persatuan untuk kembali ke Lebanon bagi mendapatkan rawatan lanjut di sana.

“Kita bersetuju dengan permintaan itu kerana merasakan kecederaan yang dialami beliau belum tentu dapat pulih dalam tempoh yang singkat,” katanya di sini kelmarin.

Dalam pada itu, ketiadaan Chaito pada aksi pembuka tirai Liga Super ketika menundukkan Selangor 2-0 Sabtu lalu tidak menghalang tiga lagi rakan importnya dalam skuad Penyu untuk mempamerkan aksi cemerlang sehingga mendapat pujian daripada pengendali pasukan, Abdul Rahman Ibrahim.

Jelas Abdul Rahman, Lopez telah membuat anjakan baharu dalam permainan bola sepak untuk Terengganu, manakala Bikana dan Rangel juga berjaya memainkan peranan masing-masing de­ngan begitu berkesan di bahagian pertahanan serta serangan pasukan.

“Secara keseluruhannya, saya ber­puas hati dengan persembahan para pemain saya terutamanya tiga pemain ini yang beraksi begitu cemerlang ketika menentang Sela­ngor,” ujar beliau.

“Selangor hilang hebatnya, dan kita dapat menguasai permainan serta mengucar-ngacirkan pertahanan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Abdul Rahman, tumpuan kini akan diberikan kepada bangku simpanan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chaito.

Sekiranya mereka diberikan peluang untuk bermain selama 20 minit ke 30 minit dalam setiap permainan maka dijangka kesemuanya akan bersedia sepenuhnya dalam saingan Liga Super akan datang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...