Tuesday, April 21, 2015

Fadzli Saari tinggalkan ATM; pulang sertai Sime Darby

Sumber: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Selepas hanya setengah musim menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Fadzli Saari sah kembali ke pangkuan Sime Darby FC, hari ini untuk membantu pasukan berstatus kelab itu keluar daripada kedudukan tercorot Liga Super ketika ini. 

Fadzli, 32, yang pernah menyarung jersi Pahang, Selangor, KL PLUS dan T-Team beraksi selama dua musim bersama Sime Darby FC pada 2013 dan 2014 sebelum membuat keputusan berpindah ke ATM, awal musim ini. 

Namun, peluang terhad beraksi selain lebih diletakkan sebagai penyerang berbanding posisi digemarinya iaitu pemain tengah dilihat punca dia memilih kembali ke Sime Darby ketika pintu perpindahan kedua dibuka dari 1 April lalu hingga 28 April ini.



"Hari ini baru saja kami menyelesaikan perpindahan Fadzli dari ATM. Tapi dia tidak dibawa ke Kota Bharu untuk aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu Kelantan, esok. 

Ismail lega "Dia hanya akan buat penampilan sulung bertemu bekas pasukannya, ATM pada aksi Liga Super di Selayang, Sabtu ini," kata jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria ketika dihubungi, hari ini. 

Ismail turut yakin kehadiran semula Fadzli mampu memperbaiki kedudukan Sime Darby yang kini di tangga ke-12 Liga Super tanpa sebarang kemenangan selepas lapan perlawanan dengan hanya meraih satu mata hasil sekali seri dan tewas tujuh kali. 

"Sepanjang dua musim Fadzli bersama Sime Darby, dia banyak membantu pasukan. Harap dia dapat memperkasa posisi tengah kami kerana dia memiliki ketinggian dan kualiti bertahan serta sifat kepimpinan tinggi yang diperlukan di posisi berkenaan. 

"Saya tak kisah kerana dia meninggalkan pasukan pun dengan cara baik dan kini dia mahu kembali semula. Tapi dia tetap perlu mengembalikan tahap kecergasan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama," tegas Ismail. 

Dalam pada itu, Ismail menafikan dirinya sudah dipecat oleh Sime Darby ekoran kegagalan pasukan itu meraih sebarang kemenangan selepas lapan aksi Liga Super musim ini. "Saya masih kekal jurulatih dan pihak pengurusan sentiasa memahami keadaan kami," katanya.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...