Sunday, April 19, 2015

Sabah hilang sentuhan Diouf

Sumber: Utusan Online

KOTA KINABALU – Sabah menerima tamparan hebat menjelang aksi Liga Perdana menentang Kedah minggu depan selepas hilang sentuhan bintang penyerang yang juga ketua pasukan, utama, El Hadji Diouf.

Bekas pemain Liverpool itu digantung perlawanan selepas mengutip kad kuning ketiga ketika membantu Sabah menewaskan Pulau Pinang 1-0, kelmarin.
Selain Diouf, Sabah juga bakal menerima kunjungan Kedah di Stadium Likas, Jumaat depan tanpa seorang lagi tonggak, Shafuan Adli Shaari yang turut digantung perlawanan.



Kedua-dua pemain ini antara yang dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Mohd. Zohri Tajudin, dalam perlawanan yang menyaksikan skuad Badak meraih tiga mata penuh.

Kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang membolehkan Sabah me­leburkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Kumbang, selain melonjak ke tangga kedua liga.

Bagi Penolong Pengurus Sabah, Abdul Rahman Mohd. Zakaria, kemenangan tersebut dilihat satu kebangkitan pasukan dalam memburu kedudukan terbaik Liga Perdana.

Katanya, semua pemain menunjukkan prestasi membanggakan, malah mempamerkan permainan bertenaga untuk mendominasi perlawanan tersebut.
"Saya sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan semua pemain dalam perlawanan ini.

"Kami telah menunjukkan persembahan yang diinginkan dan meraih tiga mata yang sangat berharga, sekali gus membolehkan kami berada di tangga kedua liga," katanya.

Ditanya mengenai tindakan pengadil melayangkan kad kuning kepada Diouf, Abdul Rahman berkata, dia menghormati keputusan tersebut.

Begitupun dia percaya, Diouf tidak sepatutnya menerima kad kuning kerana melakukan sepakan percuma setelah pengadil mengangkat tangan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...