Sunday, May 17, 2015

Kelantan ke final piala FA

Sumber: Utusan Online

KOTA BHARU - Pemain gantian Austin Amutu menjadi wira apabila menjaringkan dua gol untuk menyempurnakan kebangkitan dramatik Kelantan pada minit-minit akhir perlawanan untuk memastikan The Red Warriors melangkah ke perlawanan akhir Piala FA dengan agregat 4-3 selepas menumpaskan juara bertahan Pahang 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.

Kemenangan ke atas Pahang, yang menamatkan permainan dengan 10 pemain, menyaksikan The Red Warriors mara ke pentas akhir buat kali kelima dalam tempoh tujuh tahun sejak 2009.

Di saat Kelantan hampir tersingkir, pemain dari Nigeria, Amutu menggamatkan stadium apabila menjaringkan gol berharga pada masa kecederaan.



Turun dengan misi memburu jaringan awal, pemain sayap Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-17 selepas tenang menampan bola umpanan Wan Zack Haikal Wan Noor seterusnya menewaskan Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid di gawang gol Pahang.

Lapan minit kemudian Pahang, yang menang 1-0 dalam separuh akhir pertama di Kuantan, hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Matias Conti sedikit tersasar biarpun pengaja gol tuan rumah Khairul Fahmi Che Mat sudahpun tertewas.

Pahang dirundung malang pada minit ke-33 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Azammuddin Akil dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Suhaizi Shukri selepas menyiku Wan Zack Haikal.

Tonggak pertahanan Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah hampir menambah jaringan pada minit ke-35 namun rembatannya berjaya ditepis keluar oleh Khairul Azhan menyaksikan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Pahang akhirnya memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-57 menerusi pemain sayap lincahnya R. Gopinathan yang menerima umpanan Dickson Nwakaeme selepas serangan balas pantas untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Selepas itu, The Red Warriors cuba bangkit menerusi serangan bertali arus ke kubu Pahang namun gagal menemui penyudah biarpun memiliki deretan peluang.

Pemain gantian, Amutu kemudian menjadikan agregat 2-2 apabila meledakkan gol kedua Kelantan pada minit ke-75 sebelum dia memusnahkan harapan anak-anak buah Zainal Abidin Hassan apabila menjaringkan gol kemenangan The Red Warriors pada masa tambahan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...