Friday, May 22, 2015

‘Pastikan Piala FA kekal di bumi Malaysia’

Sumber: Harian Metro & Bernama

KUALA LUMPUR: Pengendali pasukan Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah menuntut pemain skuad 'The Red Warriors' untuk mengekalkan prestasi cemerlang apabila berdepan wakil Singapura, Lions XII pada aksi final Piala FA 2015 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam esok.

Pengendali berusia 62 tahun itu yakin menerusi sokongan padu yang bakal diberikan oleh puluhan ribu peminat tempatan termasuk penyokong Kelantan sendiri pada perlawanan itu nanti, Piala FA akan terus kekal di negara ini.

"Kita hendak Piala FA itu kekal di bumi Malaysia. Bagi kita yang mewakili pasukan tempatan lain, kita amat memerlukan sokongan daripada seluruh pelosok tanah air untuk menyokong (skuad) 'The Red Warriors' pada perlawanan malam esok," kata Mohd Azraai.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat pengurus pasukan final Piala FA 2015 di Stadium Nasional, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Azraai turut menggesa pemain pasukan itu supaya melupakan kemenangan ke atas pasukan muda negara Republik itu, sebelum ini.

Untuk rekod, Kelantan pernah mengalahkan Lions XII 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 15 Februari lalu.

"Lions XII bukan pasukan 'bukan pilihan' kerana ada beberapa pemain kebangsaan Singapura yang berada dalam skuad berkenaan. Jadi kita perlu menghormati selain berhati-hati dengan pasukan ini," kata Mohd Azraai yang mengintai trofi kejuaraan peribadi ke-10.

Beliau sebelum ini pernah membantu Kedah menjulang kejuaraan "treble"(Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super) bagi dua musim berturut-turut iaitu 2006/07 dan 2007/08 selain turut membawa Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia pada 2011 dan Piala Sultan Ahmad Shah (perlawanan sumbangsih), setahun kemudian.

Berkongsi pandangan sama adalah Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim yang mahu pemain skuad 'The Red Warriors' menggunakan peluang terbaik meraih kejuaraan Piala FA selepas menempuhi episod duka tanpa sebarang piala, musim lalu.

"Saya berharap kita mewakili pasukan-pasukan lain untuk mengekalkan Piala FA di bumi Malaysia. Kita tahu keupayaan pasukan Lions XII, walaupun mereka tidak dibarisi pemain import tetapi pemain (muda) mereka amat berdislin dan mempunyai tahap kecergasan yang agak tinggi," kata Azman.

Sementara itu, pengendali Lions XII, Fandi Ahmad menggesa anak didiknya supaya memberikan fokus sepenuhnya pada perlawanan itu termasuk mengawasi pergerakan lincah jentera serangan Kelantan yang diterajui dua pemain import, Erwin Carillo dan Gilmar Jose Da Silva selain dua pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Beliau menjelaskan semangat kerja berpasukan selain serangan balas pantas menjadi tunjang kekuatan utama skuad muda Singapura itu dalam melakar sejarah meraih Piala FA buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka pada kejohanan bola sepak berprestij tanah air yang mula diperkenalkan pada 1990.

"Kita akan bermain bersungguh-sungguh pada perlawanan itu walaupun kita adalah pasukan 'bukan pilihan' berbanding Kelantan yang pernah beraksi beberapa kali dalam pentas final.

Dari situ, kita harus berwaspada dan berjuang sehingga minit-minit terakhir perlawanan dan berharap ia tidak dibawa sehingga ke (penentuan) sepakan penalti. Kehadiran beberapa pemain utama seperti Safuwan Baharudin, Madhu (Mohanna) dan Muhammad Khairul Nizam (Mohammad Kamal) juga diharap dapat menghadirkan kejayaan kepada pasukan kita," kata Fandi. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...