Sunday, March 6, 2016

Raddy minat Red Warriors

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Ketika prestasi Kelantan tidak menentu di bawah kendalian K. Devan, bekas pengendali Singapura dan Myanmar, Radojko Avramovic menawar diri untuk membim­bing gergasi bola sepak Pantai Timur itu.

Menurut ejen jurulatih kelahiran Yugoslavia itu yang enggan mendedahkan namanya, permohonan sudah dihantar kepada Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman untuk memohon jawatan tersebut.

Avramovic, 66, yang terkenal dengan panggilan Raddy kini tidak melatih mana-mana pasukan selepas meninggalkan skuad kebangsaan Myanmar, tahun lalu.
Sepanjang sembilan tahun me­latih Singapura dari 2003 hingga 2012, Raddy telah membawa negara itu muncul juara Piala AFF tiga kali pada 2004, 2007 dan 2012.



Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida ketika dihubungi menegaskan, beliau tidak mahu membincangkan isu pertukaran jurulatih sehingga kembali daripada lawatan dua minggu ke Eropah.

Kelmarin, Kelantan tersingkir daripada Piala FA selepas tumpas menerusi penentuan sepakan pe­nalti 5-4 kepada Kedah setelah kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat permainan.

Pasukan itu kini menduduki tangga ketujuh dalam saingan Liga Super selepas sekadar mencatat satu kemenangan, dua seri dan satu kalah.

“Permohonan telah dihantar menerusi email kepada Penasihat Kehormat Kafa, Dr. Vida tetapi sehingga kini kami belum mendapat maklum balas,” kata ejen jurulatih berkenaan.

Menurut ejen tersebut, permohonan tersebut dihantar selepas Kelantan tewas 2-1 kepada Kedah pada perlawanan keempat Liga Super, Selasa lalu.

Sementara itu, Dr. Vida ketika dihubungi Mingguan Malaysia menegaskan, ketika ini beliau mahu memberi tumpuan kepada siri lawatan ke Real Madrid, Barcelona serta Manchester United sebelum membincangkan mengenai kedudukan jurulatih.

Jutawan kosmetik itu akan ber­angkat ke Madrid pada 14 Mac ini untuk meninjau Stadium Santiago Bernabeu milik Real, sebelum ke Camp Nou di Barcelona dan menutup lawatan ke Old Trafford milik pasukan kegemarannya, Manchester United.

“Mungkin ada permohonan tetapi saya belum tengok lagi. Kita tunggu dulu kerana saya akan ke Barcelona, Real Madrid dan Manchester United pada 14 Mac ini selama dua minggu untuk mempelajari beberapa perkara baharu demi kebaikan pasukan Kelantan.

“Insya-Allah selepas pulang mungkin ada beberapa perubahan drastik akan dibuat dan saya melihat persembahan skuad Kelantan semalam (kelmarin) menentang Kedah banyak peningkatan.

“Jadi saya harap prestasi itu dapat dikekalkan dan jentera serangan dapat dipertajamkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Lawatan ke ketiga-tiga lokasi itu juga dimaklumkan bertujuan untuk mendapatkan idea berkaitan reka bentuk dalaman stadium berkenaan untuk diaplikasikan kepada Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...